Tuesday, August 3, 2010

"GURU KESUSASTERAAN & CABARAN MASA KINI"


Golongan guru memainkan peranan utama dalam kehidupan awal sastera tanah air hingga kekal ke hari ini, disamping menjalankan tugas sebagai penyelidik di sekolah dan di madrasah, mereka turut melibatkan diri dalam membicarakan persoalan sosioekonomi dan politik tanah air sama ada melalui tulisan atau persatuan. Karya guru sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan sekaligus membentuk tanggapan tinggi masyarakat terhadap sastera. Pada ketika ini guru mendapat penghargaan yang cukup tinggi dalam masyarakat,lulusan guru sastera sama ada pada peringkat universiti atau maktab perguruan mendapat kemuliaan masyarakat sama seperti lulusan dalam bidang lain. Hal ini berterusan hingga tahun 1980-an dan hinggalah sekarang. Situasi di Malaysia pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 telah memperlihatkan sinario yang berbeza kepada kerjaya guru sastera. Pada ketika ini negara sedang dalam proses pembangunan yang cukup pesat dalam pembangunan utk menuju kearah negara maju menjelang tahun 2020.
Bidang sastera menghadapi cabaran hebat akibat ledakan arus pembangunan negara yang berteraskan sains dan teknologi. Keperluan yang tinggi terhadap saintis, intelektual, multimedia dan tenaga kerja siber telah menjadikan bidang sastera di pinggirkan. Disiplin ilmu kesusasteraan yang menitik beratkan kajian tentang pemikiran budaya, moral, dan keperibadian bagsa seolah-olah tidak mempunyai nilai dalam saham pembangunan negara. Penghargaan masyarakat terhadap guru sastera turut semakin luntur dan lesu. Permasalahan ini turut memberi kesan emosi dan psikologi pada peringkat pengajian tinggi. Bidang sastera di lihat tidak menjamin bidang pekerjaan yang setimpal. Kepentingan sastera pada peringkat sekolah sentiasa releven sepanjang masa, sastera tidak boleh mati di sekolah.
Sastera sebagai asas utama dalam menyemai benih budaya, jati diri, dan identiti bangsa kepada warga Malaysia. Sastera memberi semangat dan roh kepada orang melayu, dalam masa yang sama guru sastera juga sentiasa mempunyai peranan yang cukup penting selaku perantara minda dan warisan budaya bagsa di sekolah. Kepentingan sastera pada era siber seharusnya tidak harus di nilai dari sudut ekonomi atau pembangunan teknologi mutimedia tetapi perlu merangkumi keseluruhan aspek pembangunan negara dan bangsa meliputi pembangunan sahsiah dan kemanusiaan.
Sastera di sekolah bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar tetapi menyemai dan menanam kefahaman tentang sesuatu perkara contohnya tentang nilai. Aspek kefahaman ini perlu diberi penekanan oleh guru, bukan sahaja pelajar boleh lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi menjadi pegangan dan ingatan mereka sepanjang masa. Masyarakat melayu kaya dengan warisan kebesaran minda bangsa yang terakam dalam pelbagai bentuk hasil persuratan, meliputi persoalan kepimpinan negara, undang2, adat istiadat, kepercayaan, sistem masyarakat, sosiopolitik, ekonomi dan sebagainya. Kesusasteraan boleh membawa masyarakat Malaysia lebih mengenali sejarah dan asal usul mereka. Banyak peristiwa yang berlaku dalam masyarakat hari ini sudahpun berlaku pada masa lalu dan menjadi bahan nukilan seniman dalam kesusasteraan melayu.
Banyak contoh teladan telah diungkapkan, sebagai contoh sekarang negara ini sedang hangat dengan isu rasuah. Sebenarnya bahaya rasuah sudah lama di bincangkan dalam pelbagai bentuk hasil kesusasteraan melayu dan menjadi salah satu tema dalam kesusasteraan. Usaha penulis daripada kalangan guru pada masa lalu harus di teruskan oleh generasi guru sastera hari ini. Guru mempunyai peranan besar dalam menunjuk arah kepada anak-anak muda untuk mendalami dan memahami kesinambungan warisan sastera negara. Jika benar kesungguhan guru, maka besarlah pula kesannya pada kehidupan sastera di sekolah. Jika hilang minat guru, maka hilanglah pula semangat sastera di sekolah. Kesannya bakal dirasai pada peringkat negara. Pihak sekolah pula harus bersungguh-sungguh memberikan perhatian dalam menentukan semua pelajar mendapat perhatian dan kefahaman yang mencukupi tentang sastera bangsa mereka dan kehampaan sastera masa kini adalah tentang penutupan kelas-kelas sastera di tingkatan 4 & 5 di sekolah. Jadi di mana silapnya...renung dan fikirkan.

Prof Madya Dr Hjh Siti Khairiah bt Mohd Zubir
Selasa 03 ogos 2010.
2.00-4.00 ptg. pc

2 comments:

  1. ''Sastera sebagai asas utama dalam menyemai benih budaya, jati diri, dan identiti bangsa kepada warga Malaysia. Sastera memberi semangat dan roh.....''
    btoi tuh~

    ReplyDelete
  2. Betul tu...Kita melihat tamadun2 besar trdahulu spt greek,yunani,babylon dan tamadun islam sendiri mereka berdiri atas prinsip kesusasteraan dan nilai seni itu dan mereka melahirkan tokoh2 pemikir yg agung spt al-farabi,al khindi,ibnu sina dn bbrapa org yg lain,mereka mahir dlm bidang prubtn,sains,dsbgnya tetapi mereka juga mahir dlm ilmu bdya,seni dn ksustraan,knp kita kini apbla ingn mnjadi sbuah negra maju kita hanya menumpukan 100% kpd melahirkan lebih rmai saintis,lbh rmai tknologis sdangkn jka tidak ada pengisian di dlmnya mereka tidak akan menjadi sainstis yg bgus teknologis yg bgus...dn sya fkir sastera sangat mampu

    ReplyDelete